Johor Darul Ta’zim (JDT) melayakkan diri ke pentas suku akhir saingan Piala Malaysia musim 2025/26 selepas menundukkan pasukan PDRM dengan keputusan secara agregat 11-1 dalam aksi pusingan 16.
JDT membariskan Christian Abad di benteng terakhir dengan Corbin Ong menggalas lilitan kapten manakala Marcos Guilherme sebagai ayam tambatan bagi aksi ini.
Sementara itu, PDRM menurunkan Hakeem Hamidun di posisi penjaga gol dengan Elisha Oluwasegun mengemudi jentera serangan pasukan tersebut.
Sejak awal separuh masa pertama, Harimau Selatan tampil garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi Marcos Guilherme dan Teto Martin.
JDT tampak terus menerus mengasak kubu pasukan PDRM dalam tempoh yang lama bagi menceriakan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim.
Marcos Guilherme hampir memberikan gol pembukaan aksi ini pada minit ke-30 namun rembatan kencang beliau berjaya ditepis oleh penjaga gol pelawat.
Nazmi Faiz turut melepaskan satu percubaan cantik namun gagal menepati sasaran gawang pasukan PDRM pada penghujung separuh masa pertama.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua kelab.
Bersambung babak kedua, JDT terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol pembukaan aksi ini.
Teto Martin meneruskan aksi cemerlang beliau dengan meledak gol pertama aksi ini pada minit ke-66 sekali gus melebarkan defisit jaringan kepada 10 gol.
JDT dilihat menguasai penuh perlawanan separuh masa kedua dengan melakukan lambakan peluang keemasan menerusi Jairo da Silva & Jonathan Silva.
Memasuki minit ke-80 kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Harimau Selatan dengan 11-1 secara agregat.
Jairo da Silva hampir memberikan gol kedua aksi menerusi tandukan pada penghujung separuh masa kedua namun ketangkasan penjaga gol PDRM, Hakeem Hamidun harus diberi pujian.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim tamat dengan keputusan secara agregat 11-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT.
Selepas ini, JDT dijadualkan akan bertemu Melaka dalam aksi suku akhir saingan Piala Malaysia 2025/26 yang mengesahkan kemaraan terlebih dahulu pada Khamis selepas menumbangkan Sabah.