Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong berharap jaguh Malaysia, Johan Ghazali memiliki strategi berbeza bila turun berlawan.
Pandangan itu dikongsikan beliau selepas aksi ONE 170 kategori flyweight membabitkan Johan dan lawannya dari Colombia, Johan Estupinan.
Aksi tersebut menyaksikan jaguh Muay Thai berusia 18 tahun itu memberi tentangan sengit kepada lawannya dalam gelanggang.
Walau bagaimanapun, itu tidak cukup untuk menghalang Estupinan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan ONE Championship. Beliau kini masih belum tewas dalam lima aksi pertarungan.
Atas sebab itu, Chatri melihat Johan perlu memiliki strategi perlawanan berbeza jika ingin muncul sebagai antara jaguh Muay Thai yang disegani dalam kejohanan itu.
“Kita tahu Johan Ghazali seorang jaguh seni mempertahankan diri dan (melihat) beliau bertarung (dengan Estupinan). Dan beliau hanya memiliki satu strategi dan itu tidak boleh diubah semasa perlawanan,” katanya kepada SNE Sports.
“Beliau perlu memperbaiki aspek itu. Jika aspek itu dapat ditambah baik (itu bagus buat dirinya). Ini kerana beliau memiliki kekuatan dari segi knock-out dan beliau seorang jaguh yang bagus.
“Setiap (kemahiran serangannya) cukup tajam. Tetapi beliau hanya memiliki satu strategi sahaja iaitu serang, serang dan serang. Pihak lawan akan tahu dan beradaptasi dengan taktik tersebut.”
Ini kekalahan kedua Johan selepas tewas kepada jaguh Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat pada Jun 2024. Beliau kini meraih enam kemenangan daripada lapan perlawanan termasuk lima kemenangan secara knock-out.