Penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes mengakui tidak pernah menyangka dapat menjaringkan 50 gol bersama pasukan itu.
Gol ke-50 Chrigor bersama Merah Kuning direkodkan dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Sabah FC baru-baru ini.
Gol tersebut bukan saja membantu Selangor meraih kemenangan 2-1 ke atas Sabah. Malah, itu sudah cukup untuk membantu pasukan itu layak ke suku akhir.
Chrigor mengakui pencapaian itu merupakan sesuatu yang sukar dipercayai. Pada masa sama, beliau turut menghargai bantuan semua pihak terutama barisan kejurulatihan dan rakan-rakan sepasukan yang membantunya mencetak bilangan gol berkenaan.
“Sangat gembira. Sebelum saya datang ke sini, saya tak tahu saya boleh angka ajaib ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam selepas perlawanan.
“Tetapi dengan (bantuan) rakan-rakan sepasukan saya, staf (kejurulatihan), jurulatih dan semua orang di kelab, mereka membantu saya setiap hari untuk mencapai angka ajaib ini.”
Chrigor turut mengakui bukan mudah buat mana-mana pemain untuk mencapai rekod 50 gol dalam masa yang singkat. Beliau menyifatkan itu bukan satu perkara yang normal dalam dunia bola sepak.
“Ia sesuatu yang sukar dan tidak normal dalam bola sepak. Tapi macam saya katakan tadi, rakan-rakan sepasukan saya pada musim lalu dan sekarang kerap mencipta peluang untuk saya menjaringkan gol.
“Saya rasa saya boleh menjaringkan banyak gol berdasarkan peluang-peluang yang ada hari ini. Ia satu hari yang baik buat saya,” tambahnya.
Sebelum ini, Chrigor memintas rekod legenda Indonesia, Bambang Pamungkas sebagai penjaring terbanyak Selangor dalam semusim pada musim lalu.