Bekas pemain import Selangor, Richmond Boakye masih tidak dapat melupakan bekas kelabnya itu meskipun sudah tidak lagi bersama The Red Giants.
Penyerang kelahiran Ghana tersebut ditandatangani oleh pasukan Selangor ketika jendela perpindahan kedua pada pertengahan musim lalu bagi menambah sengat jentera serangan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe.
Boakye yang hadir ke Malaysia dengan status bekas pemain beberapa kelab ternama Eropah seperti Juventus, Atalanta dan Red Star Belgrade diberi peranan untuk merobek gawang gol lawan bersama seorang lagi pemain import, Ayron De Valle.
Sepanjang menyarung jersi keramat Merah Kuning, Richmond Boakye telah menjaringkan enam gol dan menghasilkan tiga bantuan jaringan dalam 13 penampilan pada musim 2023.
Memori yang paling diingati oleh para penyokong Selangor sudah pastinya jaringan hatrik Richmond Boakye ketika membelasah Kelantan FC 11-2 di Kota Bharu pada Ogos tahun lalu.
Impak segera yang dibawa oleh pemain berusia 31 tahun ini turut membantu Selangor muncul naib juara Liga Super 2023 sekaligus merealisasikan hasrat pasukan untuk beraksi di kejohanan AFC Champions League 2 (ACL2) bagi musim ini.
Walau bagaimanapun, jodoh beliau bersama skuad Selangor tidak bertahan lama apabila khidmatnya tidak dikekalkan untuk musim 2024/2025 menyebabkan beliau kini berstatus ejen bebas.
Meskipun sudah lima bulan meninggalkan The Red Giants, namun rasa sayang beliau buat pasukan lamanya itu masih tidak hilang apabila nama Selangor masih kekal di bio instagram milik Boakye sehingga ke hari ini.
Richmond Boakye yang dilahirkan di Accra, Ghana ini pernah mewakili beberapa kelab di sekitar Eropah seperti di Itali, Sepanyol dan Greece sebelum membawa haluan ke Asia untuk beraksi bersama kelab di China dan Malaysia.
Di peringkat antarabangsa pula, penyerang berketinggian 1.86 meter ini juga menyarung jersi kebangsaa Ghana dan mengumpul 17 kaps selain turut menjaringkan enam gol buat The Black Star.