Meskipun berstatus pendatang baru dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2024/25, itu bukan halangan buat Gombak FC menyimpan cita-cita besar.
Presiden pasukan, Muadzam Shariff menyifatkan dengan barisan pemain yang dipilih untuk mengharungi cabaran musim 2024/25, beliau percaya beberapa sasaran yang ditetapkan mampu dicapai.
Selain menyasarkan kelayakan ke Piala Malaysia 2024/25, Gombak juga teringin untuk mengecapi kelayakan ke Liga Super musim hadapan.
“Fokus kita pada kali ini adalah memastikan Gombak FC layak ke Piala Malaysia, itu sasaran pertama. Sasaran yang kedua, layak ke MFL (Liga Super),” katanya kepada media selepas majlis pelancaran jersi rasmi Gombak FC di Grand Barakah Hotel, Ampang semalam.
Matlamat ini turut dikongsi jurulatih pasukan itu, Shahrom Kalam. Malah, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu menyifatkan ada tiga pasukan yang berpotensi mencabar Gombak FC.
Shahrom menamakan Imigresen FC, KL Rovers FC dan Melaka FC sebagai pencabar pasukan itu pada musim ini.
“Bagi saya, (pasukan pencabar Gombak ialah) pasukan seperti Imigresen, KL Rovers dan Melaka,” katanya.
Muadzam menambah dengan barisan kejurulatihan diketuai Shahrom dan penolong jurulatih, Fadhil Hashim, Gombak dilihat mampu meneruskan rentak cemerlang pra-musim apabila liga bermula pada 1 Jun.
“Kita yakin dengan pasukan sedia ada ini yang dibentuk oleh jurulatih Shahrom Kalam dengan Fadhil Hashim, di mana kita telah meletakkan sasaran pada pra-musim. Di mana kita meraih lima kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.
“Empat kekalahan ini saya maklumkan kita kalah dengan (pasukan) Liga Super ya. Empat kekalahan tetapi bukan dengan jaringan besar. Boleh berlawan, boleh bersaing tetapi tahap ketahanan kita masih pada tahap 70%.
“Tapi kali ini, ketahanan kita sudah berada pada 100%. Saya yakin kita mampu beri saingan terbaik pada 1 Jun ini bersama Bukit Tambun,” tambahnya.
Gombak bakal membuka kempen Liga A1 Semi Pro dengan turun menentang Bukit Tambun FC pada 1 Jun ini.