Jurulatih Gombak FC, Shahrom Kalam menyifatkan Imigresen FC, KL Rovers FC dan Melaka FC sebagai pencabar utama pasukan itu musim ini.
Gombak merupakan antara pendatang baru yang memeriahkan saingan Liga A1 Semi Pro musim 2024/25.
Meskipun berstatus pendatang baru, Gombak sudah menzahirkan cita-cita untuk layak ke saingan Piala Malaysia 2024/25.
Atas sebab itu, Shahrom yang juga bekas pemain kebangsaan melihat tiga pasukan ini sebagai ancaman kepada aspirasi Gombak.
Ini kerana Imigresen dan KL Rovers masing-masing berstatus juara dan naib juara liga untuk musim 2023. Sementara Melaka pula dijangka lebih mantap di bawah bimbingan K. Devan.
“Bagi saya, (pasukan pencabar Gombak ialah) pasukan seperti Imigresen, KL Rovers dan Melaka,” katanya selepas majlis pelancaran jersi rasmi pasukan di Grand Barakah Hotel, Ampang hari ini.
Gombak diperkuat beberapa bekas pemain Liga Super seperti Gerald Gadit (Sabah FC), Saiful Ridzuwan (Negeri Sembilan FC) dan Danish Haziq (Perak FC). Wira Terengganu FC II dalam Piala MFL 2023, Isa Raman turut menyertai pasukan itu musim ini.
Gombak bakal membuka kempen Liga A1 Semi Pro dengan menentang Bukit Tambun FC pada 1 Jun ini.