Corak Permainan Negeri Sembilan Sukarkan JDT
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Jurulatih Negeri Sembilan FC, Daniel Gimenez mendedahkan corak permainan yang diterapkan pasukan itu memberi kesukaran kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Meskipun tewas 3-0 kepada Harimau Selatan, seorang staf kejurulatihan tuan rumah memaklumkan kepada beliau bahawa Negeri Sembilan merupakan lawan yang sukar.

Gimenez melihat komen tersebut sebagai satu pujian buat barisan anak buahnya. Beliau berpandangan sedemikian kerana ini menunjukkan usaha Negeri Sembilan menerapkan identiti dan corak permainan tersendiri mula membuahkan hasil.

“Anda tahu ramai orang Sepanyol bekerja di sini (bersama JDT). Jadi, mereka beritahu saya bahawa kita pasukan yang sukar ditembusi dan berdepan kesukaran untuk mencipta peluang. Kita cukup tersusun (ketika beraksi menentang JDT) terutama bila memiliki bola.

“Saya tahu kita tidak mempunyai banyak kawalan bola seperti yang kita mahukan. Tetapi sekali lagi, kita kena realistik. Kita perlu tahu dengan siapa kita menentang.

“Tetapi bila kita ada kawalan bola, kita cuba bermain dengan cara kita. Kita cuba mengekalkan identiti (permainan) kita. Dan ia sesuatu yang bagus bila seseorang dari pihak lawan memberi pujian kepada anda kerana ini yang saya cuba sampaikan kepada pemain-pemain kita,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Negeri Sembilan terpaksa akur dengan kehandalan JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Shahab Zahedi, Bergson da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.