Penyerang baharu Malaysia, Joao Figueiredo mengakui cuaca panas sedikit memberi cabaran kepada beliau menyesuaikan diri bersama skuad kebangsaan.
Penyerang berdarah Brazil itu bukan asing beraksi dalam cuaca panas yang mencabar. Ini kerana Figueiredo pernah beraksi untuk kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Wasl.
Meskipun begitu, beliau melihat cuaca panas di Malaysia berbeza berbanding di UAE. Ini kerana selain cuaca panas, Malaysia juga memiliki tahap kelembapan yang tinggi.
“Cuacanya panas seperti ketika saya bermain (untuk Al-Wasl) di Dubai. Saya bermain di Dubai lima tahun lalu dan cuacanya panas juga.
“Tetapi di sini, kelembapannya lebih tinggi. Jadi, saya fikir (cabaran untuk beradaptasi) ialah cuaca,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Walaupun berdepan cuaca panas, Figueiredo menganggap peluang beraksi buat Harimau Malaya sebagai satu penghormatan.
“Saya bangga dengan warisan Malaysia saya, saya gembira dengan peluang ini. Saya berada di sini sekarang, saya tahu musim saya (bersama Istanbul Basaksehir) sudah berakhir.
“Saya boleh pergi bercuti tetapi saya memilih berada di sini kerana ini satu peluang yang besar dan saya bangga dengannya,” tambahnya.
Figueiredo merupakan sebahagian daripada lima pemain baharu Malaysia dalam kem kali ini. Selain beliau, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Facundo Garces turut tersenarai.