Selepas Romel Morales, giliran penyerang baharu Harimau Malaya, Rodrigo Holgado pula membidas kenyataan seorang wartawan Colombia.
Sebelum ini, wartawan Colombia, Bambino Quintero mengeluarkan pelbagai kenyataan yang memperlekeh pasukan itu dan Malaysia amnya.
Antara label yang dikatakan Quintero terhadap Harimau Malaya ialah pasukan tersebut tidak wujud dan terdiri daripada kumpulan pemain amatur.
Kenyataan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati Morales. Lantas, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bangkit mempertahankan maruah Malaysia.
“Bola sepak Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan bola sepak Colombia, ini termasuk skuad kebangsaan,” katanya baru-baru ini.
Kini, Holgado tampil menerusi satu komen di Instagram. Penyerang berusia 29 tahun itu menyifatkan kenyataan wartawan Colombia terhadap Malaysia sebagai mengarut.
“Beliau tidak berhak bercakap tentang liga, beliau tidak berhak mengkritik pemain dan memperlekeh America (kelab Holgado, America de Cali).
“Beliau seorang wartawan dan orang yang berperangai buruk ini wujud. Selain itu, beliau tidak pernah bermain bola sepak dan tidak tahu apa rasa jadi (pemain),” katanya seperti dilaporkan Harimau Abroad.
Holgado menjadi antara lima pemain baharu yang memperkuat kem Harimau Malaya. Selain beliau, Jon Irazabal, Jon Figueiredo, Facundo Garces dan Imanol Machuca turut menyertai kem.
Kualiti lima tonggak ini dijangka ditagih Peter Cklamovski untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini.