Penyerang Malaysia, Romel Morales membidas kenyataan seorang wartawan Colombia berhubung persepsi negatif terhadap skuad kebangsaan.
Sebelum ini, wartawan Colombia, Bambino Quintero memperlekeh kualiti skuad Harimau Malaya. Ini susulan penyerang America de Cali, Rodrigo Holgado bakal menyertai kem pada bulan hadapan.
Quintero bukan saja melabel Harimau Malaya sebagai skuad yang teruk. Malah, beliau menganggap pasukan itu tidak wujud dan Holgado tidak sepatutnya pergi ke sana.
Susulan itu, Morales membidas kenyataan berkenaan dengan menyatakan bola sepak kedua-dua negara tidak boleh dibandingkan terutama skuad kebangsaan.
“Bola sepak Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan bola sepak Colombia, ini termasuk skuad kebangsaan,” katanya kepada Super Combo del Deporte.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menyifatkan kehadiran Holgado mampu memberi nilai tambah kepada Harimau Malaya.
“Kehadiran Holgado memberi kesan positif kepada kita kerana itu akan membantu kita menjadi lebih bagus dalam arena bola sepak (antarabangsa),” tambahnya.
Holgado bakal menjadi pemain Malaysia terbaru yang berpangkalan di luar negara menyertai Harimau Malaya. Beliau akan mengikut jejak dua pemain sebelumnya, Hector Hevel dan Gabriel Palmero.