Cubaan Harry Maguire ‘Ikat’ Rakan Sepasukan Hampir Malukan England

Harry Maguire Stadium Astro Cubaan Harry Maguire 'Ikat' Rakan Sepasukan Hampir Malukan England
Harry Maguire/Stadium Astro
Azim Noor @mohdazim45
5:30pm 10/09/2023

Bek tengah Manchester United, Harry Maguire sekali lagi menjadi tumpuan gara-gara kesilapannya mengawal rakan sepasukan sendiri semasa England diikat 1-1 dengan Ukraine.

Ukraine mendahului pada minit ke-26 menerusi gol Oleksandr Zinchenko selepas bek kiri Arsenal itu melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Jordan Pickford.

Begitupun, apa yang membuatkan ramai penyokong Three Lions naik angin ialah kegagalan Maguire menutup ruang yang digunakan Zinchenko. Daripada mengawal bekas bek kiri Manchester City itu, bek tengah United itu lebih berminat mengawal rakan sepasukan Marc Guehi.

Kesilapan ini memudahkan Zinchenko menewaskan Pickford tanpa berdepan tentangan daripada pemain-pemain pertahanan England.

Maguire bernasib baik kesilapannya itu berjaya ditebus bek kanan City, Kyle Walker yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-41. Menariknya, itu juga gol pertama beliau bersama England dalam 77 penampilan.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memusnahkan rekod 100% England dalam Kumpulan C. Namun begitu, ia masih mengekalkan mereka sebagai pendahulu kumpulan kelayakan EURO 2024 itu dengan enam mata.

Ini dijangka menambah tekanan kepada Maguire selepas kini menjadi pilihan kelima dalam senarai bek tengah United musim ini.