Penyerang sensasi Harimau Malaya, Darren Lok menzahirkan rasa teruja dengan percaturan muka baharu yang dibawa jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
Darren ketika sesi sidang media pra-perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada esok hari menjelaskan bahawa skuad kali ini sudah bersedia untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Menurut Darren, apa yang penting adalah para pemain dapat memahami sistem yang direncanakan Kim Pan-gon dengan baik dan mengikut setiap arahan yang diberikan barisan kejurulatih.
“Amat penting untuk kami ikut arahan jurulatih. Semestinya kita menginginkan keputusan yang baik tapi saya rasa prestasi semasa untuk skuad kali ini lebih penting.”
Pemain baru Sabah FC ini juga menyambut baik pemilihan pemain yang dipilih Kim Pan-gon kali ini. Bagi Darren, campuran antara pemain muda dan beberapa pemain berpengalaman ini amat baik untuk kukuhkan setiap posisi dalam pasukan.
“Saya kira campuran antara pemain berpengalaman dan pemain muda amat baik. Untuk yang pernah mendapat panggilan sebelum ini dan memahami sistem di bawah Kim Pan-gon, amat penting untuk kami bimbing pemain-pemain muda dan beberapa pemain baru yang dipanggil.”
“Apa yang penting adalah berkaitan prestasi esok hari dan memastikan kami semua dapat memahami corak permainan yang diinginkan jurulatih.”
“Setiap kali mewakili Malaysia, saya sentiasa mahu banggakan negara. Kami akan lakukan sehabis baik pada esok dan berjuang untuk Malaysia,” ujar Darren Lok.
Malaysia bakal berdepan pasukan Kemboja dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada esok. Perlawanan ini akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil tepat jam 9 malam.