Malam ini, Kedah turun di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan niat meraih kemenangan ketiga dalam Liga Super. Begitupun, ada satu figura yang tidak dapat memberi sokongan kepada mereka iaitu pemilik pasukan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Ramai penyokong Kedah sedia maklum Daud mengikuti rapat perkembangan skuad Kenari termasuk kekalahan pasukan dalam pusingan pertama Piala FA beberapa hari lepas. Bagaimanapun, beliau tidak dapat berbuat demikian hari ini kerana bakal bertolak ke Dubai atas urusan perniagaan.
Walaupun tidak dapat memberi sokongan kepada anak-anak buah Nafuzi Zain, Daud mengharapkan barisan pemain diketuai kapten Manuel Ott berusaha keras bagi mendapatkan tiga mata di gelanggang lawan.
“Sedih sebab saya tak dapat bersama Sang Kenari dalam perlawanan malam ni di Kelantan. Saya ada penerbangan malam ini ke Dubai dan kemudian ke Doha. Saya doakan kedua-dua pasukan bermain baik, cemerlang dan menghiburkan.
“Saya harap Sang Kenari dapat beri segala-galanya dan yang terbaik. Hanya yang terbaik menjadi pemenang. Sang Kenari, bangkitlah. Bina jatidiri baru,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Daud turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong Kedah kerana terus setia memberi sokongan terutama di gelanggang lawan. Difahamkan ada tiga buah bas yang membawa penyokong Kenari ke Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.
“Terima kasih kepada semua penyokong Sang Kenari yang bersusah payah untuk berada di Kelantan. Anda adalah minyak kepada sumbu pelita KDA FC,” tambahnya.