Debut ‘A+’ Bintang Muda JDT, Daniesh Amirruddin
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Daniesh Amirruddin meraih penampilan pertama yang sempurna dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang UM Damansara.

Penjaring terbanyak skuad JDT III dalam Piala Presiden 2026 itu menjadi sebahagian daripada barisan pemain simpanan yang dipilih jurulatih Sepanyol, Xisco Munoz.

Daniesh kemudiannya diberi peluang beraksi apabila masuk menggantikan pemain tengah veteran, Natxo Insa pada permulaan separuh masa kedua.

Beliau membalas kepercayaan Munoz dengan menyumbat dua gol pada minit ke-57 dan 87. Dua gol Daniesh menjadi sebahagian daripada 10 gol yang dijaringkan JDT dalam aksi berkenaan.

Pada akhirnya, Harimau Selatan menewaskan UM Damansara 14-1 secara agregat. Keputusan itu sudah cukup buat JDT layak ke pusingan suku akhir.

Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menyifatkan dua gol Daniesh dalam penampilan pertamanya cukup sempurna. “Dari SUKMA ke Piala FA, dari Akademi JDT ke skuad senior. Daniesh Amirrudin – 2 gol, penampilan pertama sempurna,” katanya di X.

Lebih manis buat Daniesh, penampilan ini hadir tidak lama selepas beliau membantu Johor meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dalam acara bola sepak.