Debut Indah Ruventhiran

Ruventhiran Debut Indah Ruventhiran
FA Malaysia
Ikuti Telegram MakanBola (3712)

Pemain PJ City, Ruventhiran Vengedesen berjaya melengkapkan kaps antarabangsa pertamanya bersama skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan antara Malaysia dan Brunei. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Malaysia cemerlang menewaskan Brunei dengan keputusan 4-0.

Ruventhiran yang diberi kepercayaan untuk turun dalam kesebelasan utama pasukan telah menampilkan aksi terpuji tatkala menjadi nadi kepada kemenjadian skuad Kim Pan-gon. Keserasian yang dipamerkan antara Ruventhiran dan Faisal Halim turut menjadi perhatian ramai ketika rentak serangan daripada bahagian kiri Malaysia dilihat cukup memberangsangkan.

Penampilan pertama Ruventhiran dalam skuad negara bertambah manis apabila beliau berjaya menghasilkan satu bantuan jaringan. Jaringan pertama perlawanan hadir pada minit ke-15 permainan apabila Syafiq Ahmad memanfaatkan hantaran sepakan penjuru daripada Ruventhiran. Hantaran unik Ruventhiran telah ditanduk cantik Syafiq sekaligus menewaskan penjaga gol Brunei, Haimie Abdullah.

Selain memiliki kelebihan melakukan hantaran-hantaran lintang dengan baik, ketenangan serta visi yang ditonjolkan Ruventhiran turut membuktikan pemain berusia 20 tahun ini memeliki keistimewaan tersendiri dan selesa bermain di posisi yang dipertanggungjawabkan. Taruhan Kim Pan-gon yang meletakkan Ruventhiran bersama Khuzaimi Piee dan Faisal Halim di sebelah sayap kiri benar-benar membuahkan hasil.

Khidmat Ruventhiran pastinya akan terus ditagih Kim Pan-gon pada aksi-aksi mendatang. Debut cemerlang anak jati Selangor ini melengkap malam indah buat peminat bola sepak tanah air. Perlawanan seterusnya buat kem Harimau Malaya adalah pada Rabu depan, 1 Jun 2022 menentang pasukan Hong Kong.