Pelantikan Kim Pan-gon sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Malaya ternyata telah mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air. Rata-rata mereka memahami berkenaan ‘proses’ sebelum tibanya kejayaan.
Para peminat pastinya tertunggu-tunggu perlawanan pertama Kim Pan-gon dalam mengendalikan pasukan Harimau Malaya yang terluka selepas tersingkir awal di Piala AFF Suzuki 2020 tahun lepas.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan negara bakal berdepan dengan pasukan yang berada di ranking ke-129 dunia iaitu Filipina yang juga tersingkir awal dari Piala AFF. Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 23 Mac di Singapura.
Seterusnya Kim Pan-gon bakal melalui ujian kedua bersama skuad Harimau Malaya pada 26 Mac dengan bakal menentang Singapura dan perlawanan tersebut juga bakal dilangsungkan di Singapura.
Menurut FAM, kedua-dua perlawanan persahabatan itu adalah sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.