Kelab LaLiga, Deportivo Alaves mengumumkan kepulangan bek tengah negara, Facundo Garces ke pasukan itu.
Perkara ini diumumkan pengurusan kelab itu menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
“Deportivo Alaves mengumumkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membenarkan permohonan Facundo Garces untuk penggantungan sementara dalam prosiding rayuan terhadap sekatan yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 25 September 2025 dan dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025.
“Akibatnya dan seperti yang dinyatakan dalam keputusan CAS, “penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak digantung sementara.”
“Walaupun langkah sementara ini masih berkuat kuasa, Facundo Garcés boleh meneruskan aktiviti profesionalnya seperti biasa tanpa menjejaskan keputusan muktamad yang boleh dibuat CAS berdasarkan merit kes itu. Oleh itu, pemain akan menyertai semula pasukan,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kenyataan Alaves dibuat selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan perkara sama membabitkan tujuh pemain warisan negara termasuk Garces.
Berita ini dijangka memberi kelegaan kepada jurulatih pasukan itu, Eduardo Coudet. Ini kerana Alaves hanya dipisahkan satu mata dengan Real Mallorca yang berada di tangga ke-18 liga.
Alaves kembali meraih kemenangan dalam liga apabila mengalahkan Real Betis 2-1 dalam aksi terbaru LaLiga.