Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mempersoalkan kualiti pengadil El Salvador, Ivan Barton untuk mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026.
Komen tersebut dibuat beliau selepas melihat Perancis tumbang 2-0 di tangan juara Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2024, Sepanyol di peringkat separuh akhir.
Meskipun begitu, beberapa keputusan sepanjang perlawanan yang dibuat Barton mencetuskan rasa tidak puas hati kem Perancis. Rentak Les Bleus juga terganggu apabila William Saliba mengalami kecederaan.
Ini membuatkan Deschamps tertanya-tanya sama ada beliau memiliki kualiti yang diperlukan untuk mengadili perlawanan tersebut.
“Pegawai keempat dan kelima memang berkualiti, saya berbual dengan mereka di tepi padang,” katanya seperti dilaporkan The Straits Times.
“Tetapi pengadil di atas padang, saya tak nak cakap apa-apa tetapi saya tanya anda, adakah dia memiliki kualiti mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia?”
Kekalahan ini menyaksikan Perancis terlepas peluang layak ke final buat kali ketiga berturut-turut. Meskipun tewas, Deschamps melihat pasukan itu membuat kemajuan yang signifikan sepanjang kejohanan.
“Kekecewaan itu memang menyakitkan. Ini kumpulan pesaing dan melihat perjalanan (pasukan) berakhir dengan cara ini menyakitkan.
“Saya tak nak nafikan semua perkara yang kita telah capai tetapi dalam perlawanan ini, Sepanyol tunjukkan mereka memiliki sesuatu yang lebih,” tambahnya.
Perancis kini menunggu sama ada Argentina atau England sebagai lawan mereka untuk perlawanan penentuan tempat ketiga. Perlawanan itu juga akan menjadi perlawanan perpisahan buat Deschamps.
Ini kerana ini akan menjadi aksi terakhir beliau sebagai jurulatih Perancis seperti yang diumumkannya pada Januari 2025. Legenda Perancis, Zinedine Zidane disebut-sebut sebagai calon pilihan menggantikan Deschamps.