DNA Bola Sepak Malaysia Jadi Misi Kim Pan-gon

Pau Marti Kim Pan gon 1 DNA Bola Sepak Malaysia Jadi Misi Kim Pan-gon
FA Malaysia

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyatakan kesungguhan untuk merangka satu dimensi bola sepak baharu di Malaysia.

Pengendali dari Korea Selatan itu menganggap bola sepak Malaysia mampu dibangunkan dengan falsafah tersendiri. Harimau Malaya perlu tampil dengan cara tersendiri mengikut acuan DNA Malaysia.

“Saya rasa paling penting untuk kami ketika ini bukanlah untuk menang setakat satu perlawanan, namun apa yang penting adalah cuba tubuhkan falsafah bola sepak Malaysia secara jelas, bola sepak Malaysia dengan cara tersendiri, DNA Malaysia.”

Dalam pada itu, Kim Pan-gon mengakui beliau sedang merangka satu falsafah terbaik untuk kem kebangsaan. Beliau bersama barisan kejurulatihan yang lain sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan tahap keupayaan pemain dan prestasi pasukan.

“Kami cuba merangka falsafah bola sepak skuad kebangsaan dan kami sentiasa bekeras untuk ubah karakter pasukan,” ujar Kim Pan-gon dalam sidang media pra-perlawanan pada semalam.

Pasukan Harimau Malaya bakal beraksi menentang Brunei dalam aksi persahabatan pada malam ini. Perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bakal menjadi medan ujian dan persediaan skuad Kim Pan-gon sebelum menghadapi Kempen Kelayakan Piala Asia 2023.