Dua Bekas Naib Presiden Pertahan FAM
MakanBola
FA Malaysia

Dua bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil mempertahankan badan induk itu berhubung dakwaan kegagalan membentangkan bajet tahunan sejak 2016.

Dakwaan ini antara dapatan yang dibuat pasukan petugas khas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam laporan audit mereka yang dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa (EGM) FAM baru-baru ini.

Susulan itu, FAM menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan bahawa audit kewangan badan induk itu sentiasa mengikut tadbir urus yang betul.

Perkara itu turut dipersetujui bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail menganggap yang dakwaan tersebut tidak benar. Ini kerana laporan kewangan badan induk itu bukan saja diaudit tetapi juga melalui beberapa peringkat semakan sebelum dibentangkan kepada Kongres.

“Antara proses penting yang dilaksanakan adalah laporan kewangan tersebut akan terlebih dahulu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM untuk diperhalusi serta dibincangkan secara terperinci.

“Selepas melalui proses tersebut, laporan yang sama akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum akhirnya dibentangkan pada Kongres FAM untuk diterima oleh ahli-ahli gabungan.

“Ini merupakan proses tadbir urus yang telah diamalkan secara konsisten dan selaras dengan kehendak statut serta prinsip akauntabiliti yang menjadi amalan FAM,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut senada dengan beliau ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin. Beliau yang juga bekas Naib Presiden FAM menyifatkan laporan kewangan sentiasa diaudit sebelum dibentangkan kepada Kongres dan mengikut statut badan induk itu.

Azhar turut menyifatkan audit berkenaan antara keperluan asas tadbir urus yang sentiasa diutamakan FAM. Ini selaras dengan statusnya sebagai ahli gabungan AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menitikberatkan kepatuhan amalan tadbir urus yang tinggi.

“Selain juruaudit bertauliah tempatan, kewangan FAM turut diaudit secara tahunan oleh juruaudit FIFA dan AFC. Ini merupakan syarat wajib memandangkan FAM menerima peruntukan dana daripada kedua-dua badan induk dunia dan Asia tersebut.

“Saya berpandangan sebarang kenyataan yang melibatkan aspek kewangan dan tadbir urus organisasi perlu disandarkan kepada fakta serta rekod rasmi, bukannya andaian atau maklumat yang tidak disahkan.

“Penyebaran dakwaan yang tidak berasaskan fakta hanya akan menimbulkan kekeliruan dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap usaha berterusan FAM dalam memperkukuhkan tadbir urus bola sepak negara,” ujarnya.

Azhar juga percaya ahli-ahli gabungan FAM juga arif tentang perkara ini dan tahu laporan kewangan merupakan sebahagian daripada agenda rasmi kongres tahunan badan induk itu.