Dua pemain senior Malaysia menjadi inspirasi penyerang muda Selangor FC, Abdul Rahman Daud.
Dua pemain yang dimaksudkan ialah bekas kapten Selangor, Brendan Gan dan penyerang DPMM FC, Syafiq Ahmad.
Nama kedua-dua pemain itu dinyatakan Rahman apabila ditanya siapa pemain yang menjadi inspirasi buat dirinya itu.
Meskipun tidak beraksi di posisi sama, beliau cukup kagum dengan perwatakan yang dibawa Brendan terutama dari segi mentaliti dan disiplin.
“Sebab bagi saya, Brendan Gan antara jenis pemain yang saya suka,” katanya semasa menjadi tetamu program Astro Arena, Borak Borak Botak.
“Walaupun bukan (beraksi di) posisi yang sama, tapi karakter, mentaliti dan disiplin dia, itu sesuatu yang bagus.”
Nama Syafiq menjadi pilihan Rahman kerana memiliki corak permainan yang hampir sama sebagai penyerang.
Ini kerana meskipun memikul tugas sebagai peledak utama, Syafiq memiliki peranan bebas termasuk mencipta peluang buat pemain lain.
“Kalau cakap berkenaan penyerang, dulu saya suka tengok Syafiq Ahmad. Sebab satu, dari segi tandukan dan lagi satu, cara dia main (peranan) nombor sembilan itu bukan penyerang klasik nombor sembilan.
“Dia main (peranan) nombor sembilan yang bebas. Peranan bebas dan yang suka datang cipta peluang. Itu pun lebih kurang cara saya juga,” ujarnya.
Rahman antara peledak berbisa dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini. Beliau kini bersaing dengan penyerang Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Emmanuel Mbarga untuk penjaring terbanyak musim ini.
Mbarga kini mendahului dengan 25 gol selepas meledakkan gol ketika menentang Manjung City FC. Rahman mengekori rapat dengan 23 gol.