Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah mula faham tentang keputusan untuk menambah pemain warisan berkelas dunia.
Malaysia berjaya merekodkan kemenangan membanggakan selepas menundukkan jaguh Asia Tenggara, Vietnam dengan keputusan 4-0 pada aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Harimau Malaya menerima tambahan 5 pemain warisan baharu yang berpangkalan di Eropah termasuklah Facundo Garces, Jon Irazabal, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado.
Yusri melihat situasi ini amat membantu skuad kebangsaan tatkala bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Abu Bakar pernah menyatakan keperluan untuk Malaysia menaturalisasikan John Terrry sekiranya mahu bersaing secara kompetitif di peringkat dunia.
“Ketika itu, saya terpinga-pinga kenapa perlu sebegitu tetapi perkara itu terjadi sedikit demi sedikit. Hari ini, saya mula faham. Hari ini, tak terkejut perkara ini berlaku,” katanya kepada Astro Arena.
Pendekatan sama yang digunakan oleh kuasa besar dunia seperti Perancis dan Jerman menyebabkan Yusri mengambil positif terhadap situasi yang berlaku bersama pasukan kebangsaan.
“Saya tahu ada yang suka dan ada yang sebaliknya. Kita lihat, Perancis yang muncul juara dunia pada tahun 1998, berapa ramai pemain warisan dalam pasukan.
“Kini, negara seperti Maghribi dan Jerman juga melakukan perkara tersebut, kenapa tidak Malaysia? Bola sepak merupakan sukan nombor satu di negara ini,” tambahnya.
Harimau Malaya dijangka bakal menerima khabar baharu mengenai pemain warisan pada bulan September ini dalam misi untuk layak ke Piala Asia 2027.