E. Elavarasan Ganti Haqimi Azim Dengan Nik Umar

Nik Umar Nik Aziz Malaysia Vietnam Piala AFF B 23 FA Malaysia E. Elavarasan Ganti Haqimi Azim Dengan Nik Umar
FA Malaysia
Azim Noor @mohdazim45
11:57am 08/09/2023

Susulan kecederaan yang menimpa penyerang KL City FC, Haqimi Azim, pengendali skuad B-23 Malaysia, E. Elavarasan segera memanggil pemain pertahanan Perak FC, Nik Umar Nik Aziz sebagai pengganti.

Keputusan tersebut diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman media sosial rasmi mereka hari ini.

Nik Umar merupakan sebahagian daripada senarai 15 pemain B-23 bersedia seandainya ada situasi luar jangka menimpa Harimau Muda.

Pemain pertahanan berusia 22 tahun itu merupakan sebahagian daripada skuad B-23 yang meraih tempat keempat dalam Piala AFF B-23 2023 pada bulan lalu.

Mampu beraksi sebagai bek kanan mahupun bek tengah, Nik Umar membuat tiga penampilan dalam kejohanan itu. Beliau juga merekodkan empat penampilan bersama skuad The Bos Gaurus musim ini.

Selepas meraih kemenangan ke atas Bangladesh dalam aksi pertama Kumpulan H, Harimau Muda akan turun menentang Filipina pada 9 September. Setelah itu, mereka akan menutup tirai cabaran dengan menentang tuan rumah Thailand pada 12 September.

16 pasukan terbaik terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan dan empat naib juara kumpulan terbaik dan tuan rumah Qatar akan layak untuk beraksi di pentas Piala Asia B-23 2024 tahun hadapan.