Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran layak ke final Sukan SEA 2023, ada yang mengganggap sasaran tersebut terlampau sukar untuk dicapai. Tetapi bagi jurulatih skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22), E. Elavarasan, ia sesuatu yang boleh dicapai oleh anak-anak buahnya.
Keyakinan ini disandarkan kepada persiapan rapi pasukan termasuk penyertaan ke Piala Merlion yang berakhir semalam. Perlawanan final semalam menyaksikan Harimau Malaya muncul juara mengatasi Hong Kong dengan kemenangan tipis 2-1.
Dengan Malaysia kali terakhir meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 2011, sudah pastinya anak-anak buah Elavarasan mahu mengakhiri penantian selama 12 tahun itu.
“Kali terakhir kita jadi juara adalah pada edisi 2011 dan sekarang sudah tahun 2023. Sudah pasti sasaran yang diletakkan oleh FAM itu wajar.
“Bagi pandangan barisan kejurulatihan, sudah tentu kami akan buat yang terbaik untuk capai KPI (petunjuk prestasi utama) terbabit,” katanya kepada media.
Bekas jurulatih FELDA United itu sudah pastinya mahu kecemerlangan dalam Piala Merlion diteruskan dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja yang berlangsung pada Mei ini. Ketika ini, Vietnam merupakan pemenang pingat emas acara tersebut selepas memenanginya pada temasya tahun lepas.