Penyokong Perak FC meluahkan rasa kurang senang di atas penangguhan kali kedua bagi aksi Liga Super di antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober itu ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL) kelak.
Penyokong Perak mula tidak senang duduk melihat penangguhan kali kedua ini dan terdapat satu video yang tular di laman Tiktok yang memaparkan seorang individu sedang berlari di atas padang ketika keadaan padang dilihat sudah membaik.
“Ha tak tenggelam. Mana ada tenggelam. Tengok tu, elok saja orang tu berlari? Nampak tu? Mana ada apa-apa,” kongsi pemilik akaun Tiktok, Fareez Salehudin.
Aksi yang pada awalnya dijadualkan bermula pada jam 8.15 malam telah ditangguhkan selama 30 minit dengan para pemain kedua-dua pasukan sudah selesai sesi memanaskan badan.
Para penyokong kedua-dua pasukan terus sabar menanti aksi bersambung sehingga 8.45 malam namun tiada sebarang pengumuman dari pihak berkuasa.
Perlawanan pada akhirnya sah ditangguhkan buat kali kedua ke tarikh yang lain selepas hujan lebat yang turun membuatkan permukaan padang bertakung.