Jenama pakaian terkenal, Elrah bakal menjadi penaja pasukan Pantai Timur, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) untuk musim hadapan.
Pengumuman kerjasama itu diumumkan pengasas jenama Elrah, Muhd Hilmi Che Azman menerusi satu hantaran di semua media sosial.
“Kelantan bukan sekadar nama. Ia adalah cinta, maruah dan legasi yang wajib dipertahankan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Perkara ini turut disahkan pengurusan Kelantan RW dalam satu kenyataan. “Elrah menyatakan komitmen tinggi untuk membangunkan kembali ghairah bola sepak Kelantan dengan menjadi sebahagian dari Kelantan Red Warrior FC pada musim baharu 2026/27.
“Syarikat yang dimiliki oleh anak Kelantan ini antara penaja terawal akan bersama Perwira Merah bagi menghadapi saingan lebih mencabar Liga Malaysia nanti,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran Elrah dijangka memberi suntikan moral kepada pasukan itu. Musim 2025/26 menyaksikan pasukan Kelantan RW bukan saja menamatkan musim di tangga keempat Liga A1 Semi-Pro.
Malah, pasukan itu juga berpeluang ke Liga Super jika mahu berbuat demikian. Ini kerana Kelantan RW antara empat pasukan Liga A1 yang mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa.