Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) antara empat pasukan Liga A1 Semi-Pro yang menerima Lesen Kebangsaan Luar Biasa Malaysian Football League (MFL).
Ini selepas mesyuarat Jawatankuasa First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL yang diadakan pada 26 Mei lalu.
Selepas menilai semua permohonan yang dikemukakan, FIB memaklumkan empat pasukan Liga A1 menerima Lesen Kebangsaan Luar Biasa.
Selain Kelantan RW, UM Damansara, Bunga Raya FC dan Armed Forces juga telah mendapat lesen berkenaan. Lesen ini membolehkan mereka beraksi di Liga Super pada musim hadapan.
Malah, perkara ini turut disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amateur Football League (AFL), Raimi Fakri Mohd Fuad. Raimi memaklumkan lesen MFL merupakan kunci buat mana-mana kelab Liga A1 untuk beraksi di Liga Super.
“Daripada segi promosi (dinaik pangkat) dan kemungkinan ada pasukan yang menarik diri tidak boleh dipastikan lagi.
“Kelab Liga A1 harus menjalani pelesenan kelab oleh MFL untuk bermain dalam Liga Super,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Berita ini menyaksikan sekurang-kurangnya satu pasukan dari Kelantan akan beraksi di Liga Super musim depan. Ini kerana satu lagi pasukan Kelantan, Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) gagal mendapat Lesen Kebangsaan untuk Liga Super musim depan.
FIB memaklumkan permohonan Kelantan TRW gagal mendapat kelulusan kerana permohonan mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan peraturan pelesenan kelab MFL.