Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) tidak akan beraksi dalam Liga Super musim hadapan.
Ini selepas First Instance Body (FIB) memaklumkan pasukan Pantai Timur itu gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan Malaysia Football League (MFL) dalam permohonan mereka.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab MFL yang diadakan pada Selasa.
Keputusan ini menyaksikan Kelantan TRW kembali ke saingan Liga A1 Semi-Pro buat kali pertama sejak tahun 2019. Musim itu menyaksikan pasukan itu muncul juara tatkala liga tersebut dikenali sebagai Liga M3.
Musim 2025/26 menyaksikan Kelantan TRW berdepan pelbagai isu termasuk masalah tunggakan gaji selama beberapa bulan.
Situasi itu juga mendorong beberapa pemain import mengambil keputusan meninggalkan pasukan tersebut. Antara yang berbuat demikian ialah Hein Htet Aung dan Damyan Damyanov.
Meskipun begitu, ini bukan bererti tiada wakil Kelantan dalam Liga Super musim depan. Ini kerana satu lagi pasukan yang berpangkalan di negeri itu, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) telah mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa.
FIB memaklumkan Kelantan RW antara empat pasukan Liga A1 yang mendapat lesen tersebut. Selain anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu, UM Damansara, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC juga mendapat lesen sama.