Dua pemain naturalisasi, Paulo Josue dan Endrick dos Santos telah dipilih menyertai skuad kendalian Kim Pan-gon menjelang aksi persahabatan antarabangsa pada hujung bulan ini
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengeluarkan senarai penuh 27 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat 18 Mac ini. Seramai lapan muka baharu dan Paulo Josue serta Endrick merupakan antara pemain baru yang mendapat panggilan kali ini.
Endrick Dos Santos kini berusia 28 tahun. Sejak 2019, beliau sudah bertapak di Malaysia bersama pasukan Selangor dan sempat beraksi bersama Penang selama dua musim. Kini beliau sedang menikmati musim indah bersama JDT setelah diumumkan sebagai pemain tempatan musim ini.
Paulo Josue pula merupakan nama yang tidak asing lagi buat peminat sejati KL City. Mencecah usia 34 tahun, ketua pasukan KL City ini telah bersama The City Boys sejak 2017 dan terus setia hingga hari ini.
Kedua-dua pemain prolifik ini secara sah telah didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan liga musim ini. Mereka telah bergelar pemain naturalisasi terbaru Malaysia pada bulan lepas.
Setakat empat penampilan bersama kelab dalam saingan Liga Super, Endrick telah berjaya mencatat tiga jaringan buat JDT sementara Paulo Josue pula mencatat dua gol buat KL City untuk musim ini.
Kini kemampuan sebenar tonggak tengah kelahiran Brazil ini bakal diuji bersama kem Harimau Malaya. Kim Pan-gon semestinya akan memanfaatkan khidmat Endrick & Paulo dalam misi meraih kemenangan dalam setiap aksi persahabatan antarabangsa kelak.