EPL: Chelsea Makin Aib, Kalah Kepada Pasukan Tercorot Liga
EPL
Premier League
Advertisements

Walaupun sudah berbelanja lebih £611 juta (RM3.2 bilion), Chelsea seakan tiada jawapan kepada kemerosotan mereka. Kali ini, mereka tewas kepada Southampton di Stamford Bridge menerusi sepakan percuma James Ward-Prowse.

Sebelum perlawanan bermula, barisan pemain, jurulatih dan penyokong kedua-dua pasukan bertepuk tangan selama seminit sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Christian Atsu. Atsu mati dalam tragedi gempa bumi yang melanda Turkiye 12 hari yang lalu.

Babak pertama menyaksikan Chelsea bergelut menghasilkan peluang menjaringkan gol. Dan mood para penyokong di Stamford Bridge langsung tidak dibantu dengan sepakan percuma Ward-Prowse yang menembusi gawang tuan rumah pada minit ke-45.

Advertisements

Jadi, tidak hairanlah apabila pengadil David Coote meniup wisel separuh masa, penyokong Blues mengejek pasukan mereka dan pengurus Graham Potter.

Selepas rehat, derita tuan rumah bertambah apabila kapten Cesar Azpilicueta mengalami kecederaan kepala selepas terkena kaki pemain gantian Southampton, Sekou Mara. Azpilicueta diusung ke luar padang sebelum dibawa ke hospital dengan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Ketumpulan barisan serangan Blues membolehkan Southampton mengecap kemenangan pertama EPL sejak kemenangan ke atas Everton pada 14 Januari lalu. Sementara bagi Potter pula, hanya laungan boo mengiringi para pemain ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

Advertisements

Kemenangan ini membantu Southampton merekodkan 18 mata, tiga mata dipisahkan dengan Bournemouth yang menduduki tangga ke-17 liga. Sementara Chelsea pula terus kekal di tangga ke-10 EPL.

Selepas ini, Chelsea bakal bertemu Tottenham untuk pertemuan setempat London pada 26 Februari. Sementara Southampton menentang satu lagi pasukan di zon penyingkiran, Leeds United di Elland Road pada 25 Februari.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram