EPL: Dua Gol Diogo Jota Benam Leicester
Dunia
Chris Brunskill/Fantasista/Getty Images
Advertisements

Harapan Brendan Rodgers mengulangi kemenangan Leicester City ke atas Liverpool pada Disember lepas tidak kesampaian. Ini selepas Reds berjaya mengalahkan mereka di Anfield dengan keputusan perlawanan 2-0 memihak kepada mereka. Kedua-dua gol disumbang oleh bekas penyerang Wolves, Diogo Jota.

Liverpool kembali mendapat khidmat Mohamed Salah tetapi pengurus Jurgen Klopp memilih untuk merehatkannya di bangku simpanan. Sebaliknya, bekas penyerang Porto Luis Diaz diberi peluang untuk membuat kemunculan pertama penuh selepas tampil sebagai pemain gantian dalam perlawanan Piala FA menentang Cardiff.

Sementara Rodgers pula memilih membuat beberapa pertukaran selepas Foxes dibenam Nottingham Forest dalam saingan Piala FA. Youri Tielemans, Harvey Barnes dan Caglar Soyuncu digugurkan ke bangku simpanan. Sementara Wilfried Ndidi dan Daniel Amartey pula mengisi slot bek tengah – gandingan sama yang menafikan jentera serangan Liverpool Disember lepas.

Advertisements

Diaz hampir membalas kepercayaan Klopp dengan membuat percubaan ke arah gol pada minit pertama. Jika tidak kerana hadangan yang dibuat oleh Amartey, ia sudah pasti menerjah jaring yang dikawal Kasper Schmeichel.

Leicester pula memilih taktik sama yang digunakan untuk menewaskan Reds: menyerap asakan dan membuat serangan balas. Ia hampir membuahkan hasil apabila bola hantaran Trent Alexander-Arnold direbut oleh James Maddison. Selepas berbalas hantaran dengan Ademola Lookman, sepakan Maddison berjaya ditepis keluar oleh Alisson.

Tetapi kelemahan ketara Leicester ialah gagal mempertahankan gawang daripada sepakan percuma dan sudut. Pada minit ke-34, hantaran Andy Robertson berjaya ditanduk oleh Virgil van Dijk ke arah gol Leicester. Schmeichel berjaya menafikan tandukan bek tengah Belanda itu tetapi tidak dapat menafikan sepakan susulan Jota untuk gol pertama Reds.

Advertisements

Gawang Leicester terus diuji sebelum rehat separuh masa. Sepakan cantik Thiago Alcantara tersasar ke tepi gawang. Schmeichel turut menafikan dua percubaan Roberto Firmino dan satu lagi percubaan Jota. Jika tidak kerana kecekapan penjaga gol Denmark itu, Reds boleh saja berpesta gol.

Salah dibawa masuk pada separuh masa kedua oleh Liverpool. Sementara Rodgers pula memasukkan Tielemans dan Kelechi Iheanacho untuk mengubah keputusan perlawanan. Bagaimanapun, malam tersebut milik Jota apabila beliau menyumbat gol kedua Reds selepas mendapat hantaran Joel Matip.

Dengan kemenangan itu, Reds kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City. Bagi Rodgers pula, ia menambah persoalan tentang masa depannya di Stadium King Power. Sekiranya keadaan ini berterusan, maka beliau akan mengikut jejak langkah pengurus EPL yang telah dipecat seperti Rafa Benitez, Ole Gunnar Solskjaer dan Claudio Ranieri.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram