Dunia
LiveScore
Advertisements

Everton bagai mendapat semangat baru di bawah bimbingan pengurus baru, Sean Dyche. Dan itu menjadi inspirasi kepada Toffees mencipta kejutan dengan menewaskan pendahulu liga Arsenal 1-0 di Goodison Park.

Sebaik sepak mula, Everton yang sudah lama kemarau kemenangan mula menekan pasukan pelawat. Dan mereka hampir berada di depan menerusi Dominic Calvert-Lewin pada minit ke-10 tetapi dinafikan oleh Aaron Ramsdale yang menolak bola yang dihantar kepada penyerang Everton itu keluar.

Dua minit selepas itu, giliran Thomas Partey pula menguji Jordan Pickford menerusi satu sepakan jarak jauh. Bagaimanapun, percubaannya berjaya diselamatkan bekas penjaga gol Sunderland itu yang membuat kemunculan ke-200 bersama Everton hari ini.

Advertisements

Tetapi peluang terbaik untuk Gunners hadir pada minit ke-39 menerusi sepakan voli Bukayo Saka. Bagaimanapun, bek tengah Toffees, Conor Coady berjaya mengeluarkan bola sebelum sempat melintasi garisan gol. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, pasukan tuan rumah terus bernafsu memburu gol pembukaan perlawanan. Dan peluang tersebut hadir pada minit ke-60 apabila James Tarkowski menanduk masuk sepakan sudut Dwight McNeill bagi meletakkan Everton di depan.

James Tarkowski Everton Ben Jacobs EPL: Everton Cipta Kejutan, Kalahkan Arsenal
Tarkowski meraikan jaringan kemenangan Everton. Sumber: Ben Jacobs

Ironinya, gol tersebut hadir selepas Mikel Arteta terpaksa mengeluarkan Partey akibat kecederaan. Arsenal terus dirundung malang apabila dinafikan sepakan penalti oleh pengadil David Coote pada minit ke-65.

Advertisements

Pemain-pemain Gunners menyangka bek tengah mereka, Gabriel dikasari oleh Neal Maupay. Tetapi VAR mendapati Gabriel mengasari Idrissa Gueye terlebih dahulu sebelum dijatuhkan oleh Maupay sekaligus menyokong keputusan Coote.

Dengan enam minit masa tambahan, anak-anak buah Arteta terus menggandakan asakan. Tetapi sebelum perlawanan berakhir, insiden pertelagahan tercetus membabitkan kedua-dua pasukan selepas Oleksandr Zinchenko mengasari Maupay.

Pertelagahan antara kedua-dua pemain memaksa pemain-pemain Arsenal dan Everton masuk campur bagi meredakan keadaan. Susulan itu, kedua-duanya kemudian dilayangkan kad kuning oleh Coote.

Advertisements

Insiden tersebut langsung tidak mengganggu Everton dari terus bertahan bagi merekodkan kemenangan pertama mereka dalam EPL sejak 22 Oktober tahun lepas.

Dengan kekalahan ini yang juga kekalahan kedua mereka dalam EPL, Arsenal kekal di puncak liga dengan 50 mata. Manakala Everton keluar dari zon penyingkiran dan menduduki tangga ke-17 dengan 18 mata.

Arsenal selepas ini bakal menentang Brentford pada 11 Februari. Sementara Everton pula berkunjung ke Anfield untuk perlawanan setempat Merseyside dengan Liverpool pada 14 Februari.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram