Manchester City terus merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Arsenal selepas berpesta gol 6-3 ke atas jiran setempat Manchester United dalam perlawanan EPL hari ini.
Kedua-dua pasukan tampil memakai lilitan lengan berwarna hitam sebagai tanda memperingati tragedi rusuhan di Indonesia yang berlaku semalam.
Babak pertama menyaksikan City mengasak United habis-habisan. Hasilnya, pasukan tuan rumah mendahului pada minit kelapan menerusi jaringan cantik Phil Foden.
Citizens menambah derita Red Devils menerusi dua gol bekas penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland pada minit ke-34 dan 37.
Foden sekali lagi mencipta nama sebagai penjaring menerusi tolakan mudah ke gawang United pada minit ke-44.
Selepas rehat, Manchester United cuba bangkit. Hasilnya, Antony menjaringkan gol jarak jauh yang menewaskan penjaga gol City, Ederson pada minit ke-56.
Bagaimanapun, Haaland menamatkan sisa perjuangan United menerusi gol ketiga pada minit ke-65. Foden menyudahkan hantaran penyerang Norway itu untuk gol keenam City pada minit ke-72.
Penyerang Perancis, Anthony Martial merapatkan jurang United dengan gol pada minit ke-82 dan penalti pada minit ke-90.
City akan berdepan Southampton untuk perlawanan EPL seterusnya pada 8 Oktober. Manakala United pula akan bertandang ke Goodison Park menentang Everton pada 10 Oktober.