Advertisements
Era Klopp Di Liverpool Bakal Berakhir
EPL
MakanBola
Press Association

EPL musim ini menyaksikan Liverpool berada di tangga ke-10 liga dan bergelut dengan prestasi tidak menentu. Dan bagi legenda Liverpool Dietmar Hamann, beliau percaya ini petanda era pengurus Jurgen Klopp di Anfield akan berakhir.

Hamann merasakan kelab lamanya itu hilang arah musim ini. Jika ini berterusan, Klopp boleh saja dipecat walaupun mempunyai kontrak sehingga tahun 2026.

Dalam temubualnya bersama TalkSport, beliau berkata, “Apa yang berlaku di Liverpool tiada beza di tempat lain dan jika keputusan tidak memuaskan, pengurus pastinya akan mengalami tekanan.”

Ini sama sekali berbeza dengan apa yang berlaku musim lepas. Reds memburu empat kejuaraan termasuk EPL tetapi terpaksa berpuas hati dengan menjulang Piala Carabao dan Piala FA.

Tambah Hamann lagi, “Sebagai pasukan besar, anda sentiasa mengalami perubahan tetapi mereka telah mencapai kemuncak keupayaan mereka dalam tempoh tiga atau empat tahun. Apa yang mereka capai dan lakukan pada musim lepas sememangnya hebat.

“Saya tak fikir ia akan diulangi semula, untuk tempoh tujuh hari berpeluang untuk menang empat kejuaraan dan saya fikir secara psikologi, ia memang akan jadi sukar musim ini.

“Jika anda lihat Arsenal pada babak kedua, mereka mirip Liverpool versi empat, lima tahun lepas. Setiap kali mereka menyerang, anda dapat rasakan sesuatu akan berlaku.

“Liverpool kelihatan letih dan tak bermaya. Saya tak pasti bagaimana pasukan ini akan bangkit seperti sebelumnya.

“Mereka berjaya kalahkan Rangers tetapi Liverpool lebih kuat daripada Rangers. Saya percaya mereka ada keupayaan untuk bangkit tetapi apakah ini permulaan kepada pengakhiran era?

“Saya tidak akan meremehkan mereka tetapi saya tak melihat pasukan ini dapat bangkit semula dalam tempoh beberapa minggu.”

Selepas tiba di Anfield pada 2015, Klopp menjadikan Liverpool sebagai pasukan bertenaga menyerang yang digeruni lawan. Pasukan ini menjulang Liga Juara-Juara Eropah pada musim (2018-2019) dan EPL (2019-2020).

Trio Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane pernah digelar trio penyerang terbaik dunia. Sementara kehadiran Alisson, Virgil van Dijk dan Fabinho menjadikan pertahanan Reds sukar ditembusi lawan sehingga sekarang.