Pengurus baharu Manchester United, Erik Ten Hag menyatakan bahawa beliau yakin dan tidak sabar untuk menamatkan era Klopp & Pep di England.
Pengurus yang terkenal dengan falsafah bola sepak tersendiri ini dikatakan memiliki sistem permainan moden yang sesuai dengan Manchester United.
Sementara itu, sikapnya yang tegas turut menjadi nilai tambahan bagi perubahan serta kebangkitan pasukan Manchester United musim depan.
“Buat masa sekarang ini, saya mengagumi mereka berdua. Mereka bermain bola sepak yang hebat, baik Liverpool dan Man City,” jelas Erik ten Hag kepada sidang media Manchester United.
“Tapi anda sentiasa melihat sesuatu zaman yang boleh diakhiri dan saya tidak sabar untuk bersaing dengan mereka dan sudah pasti semua kelab lain dalam Liga Perdana mahu melakukan perkara yang sama.”
Prestasi merudum pasukan The Red Devils pada musim ini telah meletakkan mereka berada pada tangga keenam saingan EPL 2021/2022. Keputusan buruk musim ini membuatkan Manchester United sudah lima musim tanpa trofi.
Ramai dalam kalangan peminat yang mengharapkan perubahan serta dimensi bola sepak baharu di bawah kendalian Erik ten Hag.