Dengan Argentina menjulang Piala Dunia 2022, maka tamatlah sudah temasya bola sepak berprestij itu. Dan itu juga bermakna saingan bola sepak utama termasuk EPL bakal kembali. Salah seorang yang tak sabar saingan liga disambung semula ialah penyerang berbisa Manchester City, Erling Haaland.
Musim ini, Haaland sudah menyumbat 18 gol sekaligus menjadikannya penjaring terbanyak EPL setakat ini. Selain itu, dia juga turut menyumbang tiga bantuan gol dan membentuk persefahaman yang baik dengan kapten dan pemain tengah Belgium, Kevin de Bruyne. Bagaimanapun, saingan EPL dihentikan seketika bermula 13 November lepas bagi memberi laluan kepada siaran Piala Dunia 2022 di Qatar.
Jadi, tidak hairanlah bagi ramai pemain yang tidak menyertai Piala Dunia termasuk Haaland, mereka berdepan masalah mengisi masa terluang. Hal ini dijadikan sebagai tema iklan terbaru Sky Sports bagi mempromosikan saingan EPL dengan penyerang Norway itu menjadi tumpuan utama iklan mereka.
Dalam iklan tersebut, Haaland cuba mengekalkan kecergasan bagi mengisi masa terluang. Iklan tersebut turut menunjukkan bekas penyerang Borussia Dortmund itu melakukan pelbagai perkara untuk menghilangkan rasa bosan. Antara perkara yang dilakukannya ialah menaiki mesin rumput, memakaikan patung latihan dengan jersi nombor 17 milik de Bruyne, memakai kepala maskot Manchester City dan menghubungi rakan sepasukan, Jack Grealish tetapi tidak berjawab.
Walaupun merasa bosan berada di rumah, Haaland mengucapkan selamat berjaya kepada rakan-rakan sepasukannya yang beraksi di Piala Dunia. Dia berkata, “Apapun, saya berharap mereka dapat beraksi baik dan saya tak sabar berjumpa dengan mereka tidak lama lagi.”
Saingan EPL bakal kembali pada 26 Disember atau Boxing Day, lapan hari selepas final Piala Dunia 2022. Ketika ini, Arsenal mendahului liga dengan 37 mata dengan Manchester City di tempat kedua selepas mengutip 32 mata. Citizens dan Haaland bakal menyambung saingan EPL mereka menentang Leeds United di Elland Road pada awal pagi 29 Disember.