Man City mengesahkan kemaraan ke separuh akhir The Emirates FA Cup dengan membelasah Liverpool di Stadium Etihad.
City mahu meneruskan rentak cemerlang selepas bergelar juara Carabao Cup. The Reds pula mahu bangkit selepas dikecewakan Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mohamed Salah membuat penampilan pertama sejak mengumumkan akan meninggalkan Liverpool pada akhir musim. Erling Haaland mengetuai jentera serangan tuan rumah.
City mendakwa mereka sepatutnya mendapat sepakan penalti pada minit ke-18 selepas Rayan Cherki dijatuhkan Milos Kerkez. Walau bagaimanapun, itu tidak dilayan oleh pengadil, Michael Oliver.
Hugo Ekitike hampir membuka tirai jaringan buat Liverpool pada minit ke-27. Malangnya, percubaan beliau terkena palang.
City akhirnya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-39 selepas Nico O’Reilly dijatuhkan Virgil van Dijk. Haaland tenang menewaskan Giorgi Mamardashvili untuk gol pendahuluan tuan rumah.
Haland memastikan City mendahului 2-0 sehingga rehat dengan menanduk hantaran Antoine Semenyo pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, City terus memberi tekanan kepada pelawat untuk memburu gol tambahan.
Selepas membantu Haaland menjaringkan gol, giliran Semenyo pula mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-50.
Liverpool makin derita apabila Haaland mencipta hatrik sembilan minit selepas itu. Penyerang berbisa Norway itu mudah menyempurnakan hantaran O’Reilly melepasi Mamardashvili.
The Reds kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-63. Ini selepas Matheus Nunes dikesan menjatuhkan Ekitike dalam kotak penalti.
Salah diberi tugas menyempurnakan penalti Liverpool. Malangnya, penalti penyerang Mesir itu dinafikan penjaga gol City, James Trafford.
Jurulatih Liverpool, Arne Slot memasukkan Alexis MacAllister, Rio Ngumoha dan Cody Gakpo dengan harapan dapat mengurangkan defisit gol.
Walau bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil dan keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini dijangka menambah tekanan kepada Slot berhubung masa depannya bersama Liverpool.
Sofascore memilih Haaland sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.5. Haaland mengatasi rakan sepasukan, James Trafford yang meraih 8.3 mata.
Selepas ini, City akan menentang Chelsea pada 12 April. Liverpool pula akan menentang Paris Saint-Germain (PSG) untuk aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 9 April.