Bek tengah Harimau Malaya, Facundo Garces akan terus kekal berlatih bersama kelabnya, Deportivo Alaves.
Hal ini dinyatakan kelab LaLiga itu selepas mengetahui keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain negara termasuk Garces.
“Berdasarkan keputusan CAS itu, pemain tersebut digantung daripada bermain perlawanan rasmi selama dua belas bulan dengan masa yang telah dijalani dikira untuk larangan ini.
“Akibatnya, penggantungan daripada bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026 dan ini termasuk tempoh antara 25 September 2025 dan 26 Januari 2026, di mana larangan itu dilaksanakan secara efektif.
“Tambahan pula, seperti yang ditetapkan dalam keputusan tersebut, penggantungan itu terhad kepada penyertaan dalam perlawanan rasmi. Ini bermakna Facundo Garcés boleh meneruskan latihan dan menjalankan aktiviti profesionalnya dengan kelab dalam tempoh ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Alaves turut memaklumkan bahawa kelab itu akan mengkaji keputusan CAS dan menilai situasi ini dengan teliti.
Ketiadaan Garces dilihat satu tamparan hebat buat jurulatih baharu kelab itu, Quique Sanchez Flores. Sanchez Flores dibawa masuk menggantikan jurulatih sebelumnya, Eduardo Coudet.
Sentuhan bekas jurulatih Watford itu ditagih untuk membantu kelab berkenaan mengelak penyingkiran daripada saingan LaLiga musim ini.
Ketiadaan Garces dijangka mendorong Sanchez Flores mencari penyelesaian alternatif bagi memastikan benteng Alaves kekal utuh untuk baki kempen musim ini.