Facundo Garces ‘Kembali’
MakanBola
Deportivo Alaves

Bek tengah Harimau Malaya, Facundo Garces kembali beraksi dalam kesebelasan utama Deportivo Alaves.

Selepas dibenarkan kembali beraksi menerusi perintah penangguhan hukuman yang dibuat CAS, khidmat bek tengah berusia 26 tahun itu kembali ditagih Alaves.

Ini terbukti apabila beliau diturunkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua aksi LaLiga menentang Espanyol pada penghujung Januari lalu.

Kini, jurulatih Alaves, Eduardo Coudet mengambil keputusan menamakan beliau dalam kesebelasan utama untuk aksi menentang Getafe.

Ini dibuktikan menerusi senarai kesebelasan utama yang diumumkan kelab itu di semua platform media sosial rasmi mereka.

Garces bergandingan dengan pemain pinjaman dari Real Sociedad, Jon Pacheco di bahagian bek tengah.

Alaves berharap kehadiran semula beliau dapat membantu pasukan itu meneruskan rentak kemenangan dalam liga.

Pasukan itu kini merekodkan dua kemenangan berturut-turut dalam liga selepas menewaskan Real Betis dan Espanyol baru-baru ini.