Penyerang utama skuad negara, Faisal Halim tampak tidak tergugat dengan kekuatan Vietnam sebagai lawan untuk perlawanan ketiga Kumpulan B Piala AFF 2022. Malah, semasa menghadiri sidang media pra-perlawanan bersama jurulatih Kim Pan-gon hari ini, jawapan-jawapan pemain sayap baru Selangor itu dalam Bahasa Inggeris membuatkan wartawan Vietnam tergamam.
Hal ini dapat dilihat apabila wartawan Vietnam diam seketika selepas mendengar jawapan fasih bekas pemain sayap Terengganu itu. Ia turut dikongsikan oleh personaliti Astro Arena, Akbar Sahari dalam ciapannya di Twitter.
Walaupun mengakui skuad Pahlawan Bintang Emas merupakan lawan yang sukar, itu langsung tidak menggentarkan Faisal. Malah, dia juga mahu meneruskan rekod jaringan gol dalam Piala AFF dengan menjadikan Vietnam mangsa seterusnya selepas Myanmar dan Laos.
“Esok merupakan perlawanan yang sukar bagi kami menentang Vietnam. Kami sebagai pemain skuad negara bakal berdepan Vietnam buat kali pertama.
“Ya, benar, saya perlu meneruskan usaha menjaringkan gol untuk membantu rakan sepasukan saya menentang Vietnam. Jika saya tak menjaringkan gol sekalipun, tidak mengapa asalkan kami mendapat keputusan yang positif.
“Kami datang ke sini untuk memenangi perlawanan. Kami akan berjuang bersungguh-sungguh dan memberi yang terbaik.
“Dalam skuad senior Vietnam, saya fikir semua pemain Vietnam bagus dan berkualiti. Tetapi bagi saya, saya lihatnya sebagai satu cabaran, saya akan berikan yang terbaik dan berusaha membantu rakan sepasukan saya,” katanya.
Faisal turut mengakui ada peminat yang tidak yakin dengan keupayaan Harimau Malaya selepas melihat senarai pemain yang dipanggil. Ini selepas ramai tonggak tidak dapat menyertai pasukan kebangsaan seperti Dion Cools dan Arif Aiman Hanapi. Tetapi sebagai pemain, dia percaya pemain-pemain yang dipanggil Pan-gon menyertai pasukan kebangsaan mampu melakukan tugas yang baik.
“Semua peminat merasa tidak yakin selepas melihat senarai (pemain yang dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya). Tetapi bagi saya, sebagai pemain, saya yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukan saya.
“Mereka boleh melakukan tugas dengan baik, mereka juga berbakat tetapi sebelum ini tak berpeluang menyertai skuad kebangsaan. Bagi saya, saya cuma boleh katakan ini, peluang hanya muncul sekali. Saya hanya mampu menggalakkan dan memberi sokongan kepada mereka.
“Benar, dalam banyak perlawanan, kami tidak dibolosi terima kasih kepada jurulatih Kim (Pan-gon). Semua orang tahu bermain dalam pasukan beliau bukan sesuatu yang mudah tetapi semua pemain gembira beraksi di bawah bimbingannya.
“Sebab itu, pasukan Malaysia hari ini berbeza berbanding sebelum ini. Sebab itu, pada hari esok, semua pemain perlu memberi komitmen 120% dalam perlawanan.
“Hanya perlu bermain dan ikut pelan yang diatur. Saya datang ke sini bukan untuk kalah dan memalukan diri saya. Saya mahu keluarga saya dan rakyat Malaysia bangga dengan pasukan negara,” ujarnya.