Penyokong Selangor FC ceria apabila pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim kembali beraksi di padang – tiga bulan selepas menjadi mangsa serangan asid pada Mei lalu.
Susulan insiden berkenaan, pemain sayap berusia 26 tahun itu terpaksa menjalani proses pemulihan yang cukup mencabar termasuk empat siri pembedahan.
Meskipun perlu menghadapi proses pemulihan yang menjerihkan, keazaman Faisal untuk kembali pulih dan beraksi di atas padang mengagumkan ramai pihak.
Selepas dinamakan sebagai pemain simpanan dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024 menentang Terengganu FC pada 3 Ogos lalu, ramai penyokong tidak sabar melihat beliau kembali.
Detik yang dinantikan akhirnya muncul dalam aksi liga membabitkan Selangor dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC). Faisal masuk menggantikan Reziq Bani Hani pada minit ke-85.
Faisal yang beraksi dengan memakai topeng khas dilihat pantas menyesuaikan diri dengan perlawanan berbaki beberapa minit.
Dan bekas pemain sayap Terengganu itu hampir mencipta impak segera pada minit ke-87 menerusi tandukan ke arah gol Kelantan DN. Malangnya, percubaan Faisal terkena palang.
Kemasukan Faisal menambah keceriaan kem Merah Kuning yang menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-0. Dua gol mereka disumbang oleh Ronnie Fernandez.
Faisal mengakui bila beliau kembali beraksi, ia satu detik yang cukup dinantikannya selepas berehat selama tiga bulan. Ini kerana ini bukan saja detik istimewa buat dirinya tetapi juga buat penyokong Merah Kuning.
“Alhamdulillah, syukur. Ini saat yang saya nantikan. Saat yang pada hari ini cukup istimewa untuk diri saya dan penyokong Selangor serta keluarga saya juga, alhamdulillah.
“Saya masih ada waktu dan ruang untuk saya tambah baik dan kejar dari segi persembahan dan kualiti. Banyak benda yang saya tertinggal sekarang. Saya harap saya dapat masa yang cukup untuk kembali,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Kehadiran semula pemain sayap Harimau Malaya itu juga dijangka menggembirakan pemangku jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente. Ini kerana kehadiran Faisal berpotensi menambah lebih banyak pilihan buat jurulatih Sepanyol itu di bahagian sayap.