Sejak semalam, arena bola sepak Malaysia kecoh apabila khidmat pemain sayap Selangor, Faisal Halim dikatakan diintai dua kelab K-League 1. Tetapi hari ini, pemain sayap Harimau Malaya itu memberi petunjuk untuk kekal bersama Merah Kuning untuk baki saingan Liga Super musim ini.
Ini berdasarkan satu hantaran yang dimuatnaik di akaun Instagram peribadinya beberapa jam lepas. Hantaran tersebut menggunakan imej Faisal menyarung jersi Red Giants dan hanya mengandungi warna merah dan kuning serta akaun Instagram ejennya, Joe Berbatov.
Walaupun tiada sebarang kenyataan dinyatakan di situ, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa bekas pemain sayap Terengganu itu mahu kekal bersama pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu.
Malah, hasrat Faisal seakan difahami Joe Berbatov dengan komen ini, “Arahan diterima boss.” Ini menunjukkan sebarang usaha untuk mendorongnya berpindah pada tetingkap kedua perpindahan tidak akan dilayan.
Ini juga dilihat kesinambungan daripada kenyataan awal Joe Berbatov sebaik saja khabar angin perpindahan Faisal ke Korea Selatan timbul. Menerusi ulangciapnya di akaun Twitternya semalam, beliau hanya mengatakan ini, “Show me the offer first (Tunjukkan kepada saya tawaran itu terlebih dahulu).”
Yang pasti, hantaran ini sudah pasti melegakan penyokong Merah Kuning lebih-lebih lagi dengan statusnya sebagai tonggak utama pasukan. Liga Super musim 2023 menyaksikan Faisal merekodkan lima gol dan lima bantuan gol untuk Selangor.