Pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim memerlukan dua lagi elemen sebelum kembali menyerlah seperti musim lalu.
Bekas penyerang kebangsaan iaitu Nizaruddin Yusof membayangkan Faisal kini hanya memerlukan kecergasan perlawanan dan pemahaman situasi perlawanan untuk kembali ke prestasi asal.
Faisal telah diturunkan dalam kesebelasan utama ketika aksi pusingan 16 terakhir Piala Malaysia bertemu Sri Pahang pada Sabtu yang mana menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
“Saya rasa ini comeback yang terbaik yang saya pernah lihat kalau dia (Faisal Halim) betul-betul beraksi 90 minit (menentang Sri Pahang). Kalau kita lihat semula, aturan serangan pasukan Selangor, kalau Faisal ada, memang banyak berlaku (serangan) di kawasan beliau.
“Tapi dari segi kecergasan perlawanan, situasi perlawanan memang dia kurang lagi. Tapi kita boleh bagi dia dua ke tiga perlawanan untuk memahami dengan keadaan dia beraksi di peringkat tinggi bola sepak Malaysia,” jelas Nizaruddin kepada Astro Arena.
Kelincahan tonggak berusia 26 tahun itu seperti dirompak selepas menjadi mangsa simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali sekitar Mei lalu.
Disebabkan tragedi tersebut, Faisal terpaksa melalui beberapa siri pembedahan selain turut berehat panjang daripada dunia bola sepak.
Kini, Faisal semakin menemui rentak permainannya seperti dahulu dan sudah pasti kelibatnya sentiasa dinanti oleh peminat bola sepak tempatan yang mahu melihat kembalinya bisa Faisal yang sudah lama hilang.