Pemain sayap lincah Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim turut meluahkan rasa sedih dengan perletakan jawatan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.
Dalam satu instagram story milik Faisal, pemain sayap berusia 26 tahun itu terkenang kata-kata semangat daripada Pan-gon yang hadir melawat dirinya ketika terlantar di hospital beberapa bulan lalu akibat daripada simbahan asid.
“Ini berita yang sangat menyedihkan. Saya masih ingat dua bulan yang lalu, coach (Kim Pan-gon) datang ke hospital dan memberikan sokongan serta kekuatan.
“Coach berkata kepada saya, Faisal, saya mahu lihat awak kembali dengan lebih kuat demi skuad kebangsaan. Saya akan berikan sokongan dan percayalah kepada saya bahawa awak akan menjadi lebih kuat.
“Terima kasih coach untuk segalanya,” coret Faisal di Instagram Story, faisalhalim_7.
Faisal merupakan salah seorang pemain yang sering membarisi skuad kebangsaan sejak pelantikan Kim Pan-gon sebagai jurulatih Malaysia pada 2022.
Kini, Faisal masih berehat dan menjalani proses pemulihan selepas disimbah asid pada bulan Mei yang lalu dan kelibatnya akan dapat disaksikan semula selepas segalanya beransur pulih.