Pemain sayap Selangor dan Harimau Malaya, Faisal Halim sudah menunjukkan tanda-tanda positif setelah menjalani beberapa siri pembedahan.
Faisal dilaporkan menjalani beberapa pembedahan dan kini ditempatkan di bawah seliaan Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta bagi memastikan keadaannya kembali stabil.
Pemain berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali pada Ahad lalu dan laporan kesihatan memaklumkan bahawa Faisal mengalami kelecuran tahap empat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, keadaan terkini Faisal menunjukkan perkhabaran positif apabila pemain tersebut memberikan reaksi seperti sudah mula makan dan bangun untuk bergerak.
Beliau ditemui ketika menemani Tuanku Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharifuddin yang mencemar duli melawat tonggak utama Selangor FC itu pada pagi Rabu.
”Alhamdulillah, pagi tadi saya difahamkan ketika melawat bersama Raja Muda Selangor, Faisal Halim sudah boleh makan. Berita baiknya dia dah mula nak bangun dan buat latihan bola sepak normalnya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
“Ini sangat-sangat membanggakan kerana dia seorang yang sangat kuat.”
Petang semalam, Faisal telah selesai menjalani dua pembedahan pada Isnin dan Selasa, menurut perkembangan terkini difahamkan keadaannya lebih stabil berbanding sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menangkap dua suspek bagi membantu siasatan, namun suspek pertama telah dibebaskan selepas didapati tiada kaitan dalam kes ini
Selangor FC turut memohon agar aksi Piala Sumbangsih (Piala Sultan Haji Ahmad Shah) yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini agar ditunda demi menjaga keselamatan para pemain dan pasukan The Red Giants.