Pemain sayap Terengganu, Faiz Nasir menjadi nama terbaru terpaksa disisihkan daripada kem latihan skuad kebangsaan berikutan masalah kesihatan.
Perkembangan itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan.
Ketiadaan Faiz Nasir bagaimanapun dijangka tidak menganggu perancangan Kim Pan-gon yang mempunyai beberapa lagi altenatif lain di posisi pemain itu.
Bagaimanapun Kim Pan-gon membuat kejutan apabila memanggil penyerang muda, Aliff Izwan Yuslan yang berjaya memikat perhatiannya setelah tampil menyerlah bersama skuad B-23 kebangsaan kendalian E.Elavarasan.
“Pemain tersebut telah menarik perhatian Pan Gon ketika skuad Harimau Malaya mengadakan sesi latihan bersama dengan skuad B-23 kebangsaan kendalian E. Elavarasan pada 30 November dan 1 Disember lalu serta perlawanan latihan membabitkan kedua-dua pasukan pada 2 Disember lalu.
“Malah selepas berakhirnya kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan selama 10 hari dari 27 November lalu yang berakhir hari ini, Elavarasan selaku ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan dan juga penolong jurulatih Harimau Malaya turut memberi rekomendasi kepada Pan Gon untuk penyenaraian pemain ini ke skuad senior.
“Aliff Izwan, 18, yang merupakan penyerang Selangor FC 2 akan melapor diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya pada Rabu, 7 Disember 2022 bersama-sama penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC yang namanya memang tersenarai dalam skuad senior,” menurut kenyataan FAM.
Dengan penambahan nama Aliff, jumlah pemain di dalam kem skuad kebangsaan adalah 28 pemain, termasuk Dion Cools yang akan melapor diri pada 16 Disember.
Skuad negara ketika ini dalam persiapan untuk menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bermula 26 Disember namun sebelum itu akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, yang mana Kim Pan-gon akan memuktamadkan senarai akhir 23 pemain.