Penjaga gol baru skuad Kedah Darul Aman (KDAFC), Fikri Che Soh mendedahkan beberapa sebab yang mendorongnya untuk berhijrah ke kelab itu dengan mengetepikan tawaran kontrak baru dari Kelantan United.
Selain mahu mencari pengalaman baru dan mencabar diri bermain dengan sebuah kelab yang lebih besar, Fikri Che Soh berkata aura penyokong di Darul Aman turut menjadi faktor tarikan utama dia membuat keputusan untuk angkat kaki.
“Sebelum ini saya pernah ke Perlis pada 2019 tetapi pasukan itu ditutup dan harap keputusan kali kedua ke utara, akan memberikan tuah untuk karier saya.
“Enam tahun beraksi di Kelantan, rasanya sudah sampai masanya saya keluar mendapatkan pengalaman bersama pasukan lain dan keluar dari zon selesa.
“Jurulatih, Yazid Yassin menjadi orang bertanggungjawab membawa saya ke sini dan sebaik tawaran diberikan, saya mengambil masa membuat keputusan kerana Kelantan United terlebih dahulu mahu saya terus kekal.
“Akhirnya saya memilih Kedah memandangkan pertama kali saya mendapat tawaran daripada pasukan besar selain penyokong-penyokongnya yang merupakan antara teramai di Liga Malaysia,” ujar pemain berusia 24 tahun yang memulakan kariernya bersama Kelantan itu.
Jika di Kelantan United, Fikri Che Soh adalah pilihan utama di gawang, berbeza di KDAFC kerana dia perlu bersaing dengan penjaga gol kebangsaan Kalamullah Al Hafiz serta seorang lagi penjaga gol berpengalaman Ifwat Akmal untuk tempat di dalam kesebelasan utama.
“Saya bersedia untuk cabar tempat dalam pasukan walaupun semua orang tahu Kalamullah dan Ifwat, adalah dua nama besar dalam liga kita,” katanya lagi.
Mengenai saingan Liga Malaysia 2023, Fikri melihat pertambahan jadual perlawanan di Liga Super dari 22 ke 30 perlawanan akan membuka peluang yang lebih baik untuk semua pemain mendapatkan minit permainan.
“Berdasarkan jumlah perlawanan yang bertambah ekoran gabungan pasukan dari Liga Super dan Liga Premier, saya rasa sebahagian besar pemain ada peluang untuk dapat bermain.
“Ini kebaikan yang saya nampak kerana mungkin jurulatih akan ada penggiliran pemain antara pemain utama dan simpanan bagi harungi musim yang panjang,” ujarnya.