Harimau Malaya

“FAM Ada Kenal Pasti 3-4 Calon”

FAM Logo “FAM Ada Kenal Pasti 3-4 Calon”
FA Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya telah mengenal pasti tiga hingga empat calon sebelum membuat keputusan akhir.

Advertisement

Kerusi ketua jurulatih Harimau Malaya kosong sejak Jun lalu selepas kontrak Peter Cklamovski ditamatkan melalui persetujuan bersama, berkuat kuasa 16 Jun 2026. Tan Cheng Hoe kemudian dilantik sebagai ketua jurulatih interim.

Teka-teki itu akhirnya terjawab apabila badan induk bola sepak negara mengumumkan Bojan Hodak sebagai pengendali baharu pada 24 November lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, menjelaskan bahawa pelantikan itu dibuat mengikut proses yang ditetapkan. Beliau berkata keputusan tersebut dibincangkan di peringkat jawatankuasa sebelum dimuktamadkan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk tersebut.

“Mengenai pelantikan Bojan Hodak, kita (FAM) telah mengumumkan perkara tersebut. FAM melalui proses iaitu Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan kemudian dibawa ke Mesyuarat Exco.

“Kami (FAM) amat yakin dengan kewibawaan Bojan Hodak untuk membawa pasukan Harimau Malaya ke arah yang lebih baik lagi,” kata Noor Azman kepada Astro Arena.

Pengendali kelahiran Zagreb, Croatia itu bukan nama asing dalam bola sepak tempatan. Beliau pernah membawa Kelantan meraih treble pada 2012, membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Liga Super 2014, dan membimbing skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara dari 2017 hingga 2019.

Menurut Noor Azman, proses pemilihan turut melibatkan temu duga bersama beberapa calon lain sebelum jurulatih berusia 55 tahun itu dipilih.

“Kita pun ada menemu duga tiga hingga empat calon lain, tetapi Bojan memiliki kelebihan menerusi pengalaman dan pengetahuannya tentang bola sepak Malaysia. Jadi, kelebihan itu milik beliau (Bojan).

“KPI kita semestinya ingin melihat pasukan melangkah ke pentas Piala Asia. Memang ini pilihan yang tepat,” tambahnya.

Bagaimanapun, lawan pertama bekas jurulatih B-19 negara itu masih belum diketahui. Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dilaporkan telah menangguhkan undian pusingan pertama dan kedua Kelayakan Piala Dunia 2030 merangkap Kelayakan Piala Asia, yang sebelum ini dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada Disember ini.

Tarikh baharu belum diumumkan, namun undian itu dijangka diadakan pada Februari 2027, sebelum pusingan pertama kelayakan bermula pada Mac.

Harimau Malaya kini berada di tangga ke-23 Asia dan dijangka kekal dalam Balang 3 bersama Kyrgyzstan, Lubnan, Indonesia, Korea Utara, Kuwait, Filipina, India dan satu pemenang pusingan pertama. Dua pasukan teratas setiap kumpulan pusingan kedua akan mara ke pusingan ketiga dan layak terus ke pusingan akhir Piala Asia.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...