FAM Fokus Kualiti Pentadbiran Maju Seiring Pencapaian Atas Padang
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) fokus untuk meningkatkan kualiti pentadbiran agar seiring dengan pencapaian di atas padang.

Hal ini dinyatakan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin apabila diminta mengulas saranan yang dikemukakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada badan induk itu.

Laporan audit AFC yang dibentangkan di Kongres Luar Biasa (EGM) FAM bukan saja mendedahkan kelemahan badan induk itu. Malah, AFC turut mengeluarkan pelbagai saranan menerusi pindaan statut yang diluluskan ahli-ahli gabungan FAM.

Hamidin melihat saranan-saranan yang dikemukakan AFC dilihat dapat membantu meningkatkan kualiti pentadbiran FAM terutama dari segi tadbir urus.

Ini sekaligus memastikan kualiti pentadbiran badan induk tersebut seiring dengan kemajuan skuad negara di atas padang.

“Ada negara sudah layak Piala Dunia pun semua tapi kemungkinan pentadbiran dia tak bagus. Saya tahu saya pun di FIFA, saya pun di AFC tahu tapi bukan nak mengatakan itu kita tak boleh ikut macam itu.

“Tapi pasal negara dia memang bagus dia layak World Cup. Tapi kemungkinan pentadbiran dia tak bagus, dia ada banyak masalah dengan ini semua. Tapi hanya bagi perbandingan, kita tak nak macam itulah.

“Kita nak seiring, pasukan kita bagus, pembangunan kita bagus, skuad kebangsaan kita bagus dan pentadbiran kita pun bagus. Jadi, ini antara elemen FAM perlu (mantapkan) dan sebahagian besar itu, ahli gabungan telah terima dan luluskan,” katanya.

Hamidin turut melihat pindaan statut yang dikemukakan AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilihat seiring dengan standard bola sepak antarabangsa.

Ini dilihat dapat membantu FAM bangkit menjadi sebuah organisasi yang lebih kuat terutama dari segi tadbir urus.

“Tapi FIFA kata dan dengan ada proses kongres luar biasa kita dengan adanya perkara terjadi ini, mungkin ada hikmah dia kita bangkit lebih kuat dengan elemen baharu (terutama) penerimaan kelab (sebagai ahli gabungan) dan semua yang ada.

“Jadi, itu membuatkan kita ini terima dan ini mungkin untuk maju ke hadapan. Antara elemen yang boleh membantu FAM lagi lebih baik daripada sebelumnya terutama dari segi pentadbiran,” tambahnya.

Hamidin turut menjelaskan sebab FAM meminta AFC membuat audit kualiti untuk badan induk itu. Selain itu, beliau juga mengulangi pendirian mahukan calon baharu menerajui barisan kepimpinan FAM yang seterusnya.