Kembali Jadi Presiden FAM? Ini Respon Hamidin
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin tetap dengan pendirian tunggu dan lihat apabila ditanya sama ada beliau ingin kembali menjadi presiden badan induk itu.

Selepas barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM meletak jawatan pada Januari lalu, jawatan Presiden menjadi tumpuan ramai.

Ini mendorong ramai calon dicanang untuk mengisi kerusi panas berkenaan. Antaranya DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Hamidin.

Apabila ditanya tentang persoalan tersebut, beliau ingin melihat figura-figura baharu merebut jawatan berkenaan. Ini memberi ruang kepada ahli-ahli gabungan FAM untuk memilih muka baharu dalam barisan kepimpinan FAM penggal seterusnya.

“Jadi untuk pemilihan ini, saya rasa kita elok bagi peluang pada orang yang patut. Saya tak kata orang bawah, orang yang patut bagi ruang pada ahli gabungan yang ini termasuk sekarang ahli gabungan baru untuk pilih dengan semua,” katanya.

Meskipun memilih mengambil sikap tunggu dan lihat, Hamidin tetap inginkan muka baharu mewarnai barisan kepimpinan FAM yang seterusnya.

“Sama ada saya bertanding atau tidak, kita tunggu dan lihat. Itu dengan semua. Jadi, biar putuskan dengan semua. Tapi kalau ada orang lain yang boleh dapat memegang ini semua, yang bagus saya pun bersyukur dengan apa semua. Biar ahli gabungan dengan orang nilaikan ini semua,” katanya.

Sebelum ini, Hamidin menyatakan pendirian sama apabila ditanya dalam sidang media Kongres Luar Biasa (EGM) FAM baru-baru ini.